SHAH ALAM – Canon Marketing Malaysia hari ini melancarkan kamera cermin tanpa pantulan (mirrorless) bingkai penuh terbaharu, EOS R8 Mark II, yang menawarkan keupayaan sensor 24.2 megapiksel dalam reka bentuk yang lebih padat dan ringan.
Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang, berkata pengenalan model berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam membolehkan pengguna meneroka kreativiti masing-masing menerusi teknologi pengimejan terkini.
“EOS R8 Mark II mencerminkan kepercayaan Canon bahawa teknologi pengimejan patut memperkasakan masyarakat untuk meneroka kreativiti mereka dan mengekspresikan perspektif yang unik. Dengan menggabungkan prestasi pengimejan bingkai penuh bersama ciri-ciri intuitif dalam badan yang kukuh serta berkeupayaan tinggi, kami ingin memberikan kebebasan kepada jurufoto dan pencipta kandungan untuk merealisasikan idea mereka serta terus melangkaui batas kreativiti,” kata beliau lagi.
Model susulan kepada EOS R8 ini dilengkapi sistem Penstabilan Imej Dalam Badan (In-Body IS) lima paksi yang berupaya mengurangkan kesan gegaran, selain menyokong Penstabilan Kawalan Terlaras (Coordinated Control IS) sehingga 7.5 stop apabila dipadankan dengan kanta siri RF terpilih.
Kamera seberat kira-kira 546 gram ini turut dipasang dengan stik kawalan pelbagai (joystick) yang biasanya hanya terdapat pada kamera mahal bagi membolehkan kawalan fokus automatik dilakukan secara intuitif sewaktu pengguna melihat menerusi pemidang tilik.
Bagi perkakas perakaman video, kamera berkenaan menyokong rakaman video 4K 60p yang disampel semula daripada 6K, format Full HD sehingga 180p, serta Canon Log 3 dan pengubahsuaian penapis warna secara terus tanpa memerlukan proses penyuntingan lanjutan.
Selain itu, EOS R8 Mark II turut dilengkapi kebolehan pemprosesan kandungan realiti maya (VR) serta perisian Penukar 3D Dual Pixel bagi menukar foto pegun kepada model 3D berkualiti tinggi. Canon turut mengumumkan tiga aksesori sokongan iaitu Pemegang Lanjutan EG-E2, Pemegang Pengapit HG-1000TBR bersama Alat Kawalan Jauh Bluetooth BR-E2, dan unit kilat Speedlite EL-5 (Versi 2).
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































