Mungkin ramai mengenali Perak dengan destinasi popular seperti Ipoh, Taiping dan Pulau Pangkor. Namun, pengalaman kami sendiri ketika berkunjung ke Teluk Intan, Bagan Datuk, Slim River dan Tanjong Malim membuktikan bahawa bahagian selatan negeri ini juga menyembunyikan banyak pengalaman menarik untuk diterokai.
Daripada juadah makanan tempatan yang pelbagai, sejarah yang tersendiri, hinggalah ke destinasi alam semula jadi dengan penginapan yang unik, selatan Perak menjanjikan pengalaman percutian yang lengkap buat apa saja citarasa percutian yang anda gemari.
Jika anda merancang untuk bercuti ke Perak, ini lima sebab mengapa selatan Perak wajib dimasukkan dalam senarai destinasi anda.
1. Syurga alam semula jadi
Bagi anda yang mahu melarikan diri seketika daripada kesibukan bandar, selatan Perak menawarkan beberapa lokasi yang membolehkan anda menikmati keindahan alam semula jadi dengan lebih santai.

Antaranya ialah Dē MOCCIS Lake Resort di Changkat Jong, Teluk Intan yang dikelilingi kehijauan landskap, dan menawarkan pelbagai aktiviti seperti berkayak, menaiki ATV, berbasikal, memancing, mendaki dan mengunjungi zoo mini.

Jika anda mencari kelainan, UAP Glamping UPSI di Tanjong Malim pula menawarkan pengalaman bermalam dalam dome atau khemah dengan pemandangan yang menghijau berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa. Dibuka pada 2025, lokasi ini memberikan alternatif kepada pengunjung yang inginkan pengalaman menginap jauh daripada kesibukan bandar, dalam suasana yang nyaman dan sejuk.
2. Mengenali sejarah dan identiti bandar lama
Jika anda gemar meneroka sejarah sesebuah destinasi, Teluk Intan menyimpan banyak warisan sejarah yang boleh dimasukkan dalam itinerari.

Salah satu daripadanya ialah Menara Condong Teluk Intan , antara mercu tanda ikonik bandar berkenaan, yang dibina pada 1885. Pada asalnya, bangunan ini berfungsi sebagai menara penyimpanan air. Kini, bangunan pagoda tiga tingkat ini menjadi salah satu tapak warisan yang cukup dikenali di Teluk Intan.
Tidak jauh dari situ, pengunjung boleh menyusuri Pekan Lama Teluk Intan dengan berjalan kaki untuk melihat pelbagai bangunan warisan, deretan kedai lama serta suasana kehidupan tempatan. Kedudukannya di sepanjang bahagian hilir Sungai Perak itu turut memberikan karakter tersendiri yang penuh dengan nostalgia.

Manakala Tanjong Malim pula dihidupkan dengan elemen yang lebih moden melalui Tanjong Malim Street Art yang dihiasi dengan mural dan karya seni. Pengunjung yang datang ke sini boleh mengambil gambar di sekitar lokasi berkenaan, dengan lukisan mural yang berwarna-warni menjadikan kawasan ini menarik untuk diterokai dan dirakam sebagai kenangan.
3. Jalan-jalan cari makan
Seperti lazimnya, negeri Perak terkenal dengan pelbagai juadah makanan tempatan, tidak kurang di xselatan negeri ini. Perjalanan tidak sempurna tanpa mencuba makanan tempatan.

Di Teluk Intan, anda boleh memulakan perjalanan kulinari dengan berkunjung ke Restoran Udang Galah Teluk Intan yang menghidangkan pelbagai jenis lauk, terutamanya hidangan berasaskan udang galah.

Kemudian, cuba kopi buatan tempatan di Kilang Kopi Cap Arnab . Dengan warisan pembuatan kopi turun-temurun sejak 1950-an, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati kopi tempatan, malah boleh mendapatkan pelbagai produk keluaran mereka sebagai cenderahati.

Jika anda mencari tempat untuk menikmati sarapan pagi, anda boleh singgah di Gerai Pak Deris Roti Canai Kari Kambing untuk menikmati roti canai bersama kari kambing, dengan pilihan roti sarang yang popular dalam kalangan pelanggan. Pelbagai pilihan sarapan lain, seperti nasi lemak, mi dan hidangan tempatan, turut tersedia.

Akhir sekali, bagi peminat makanan laut bakar, anda boleh singgah di Rosli Ikan Bakar Ketagih di Bagan Datuk. Restoran ini menawarkan hidangan makanan laut bakar dan sajian tempatan pada harga yang berpatutan. Walaupun lokasinya sedikit jauh ke pedalaman, pengalaman menikmati hidangan yang dibakar dengan rempah istimewa sambil menghayati suasana kampung pastinya berbaloi.
4. Mengenali perusahaan komuniti setempat

Perjalanan kami di selatan Perak turut memberi kami peluang untuk mengenali hasil dan aktiviti masyarakat tempatan dengan lebih dekat.
Sebagai contoh, Taman Agroteknologi MARDI Bagan Datuk mengetengahkan penyelidikan berkaitan tanaman dan hasil kelapa serta pengalaman berasaskan komuniti. Pengunjung berpeluang mengetahui dengan lebih dekat bagaimana kelapa berkualiti ditanam dan diusahakan sehingga menjadi salah satu hasil tempatan di kawasan tersebut.
Jadi, bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri atau mengetahui lebih lanjut tentang penghasilan tanaman dan hasil kelapa, MARDI Bagan Datuk boleh dimasukkan ke dalam itinerari percutian anda.
5. Satu perjalanan, seribu pengalaman

Apa yang menarik tentang percutian ke selatan Perak ialah kepelbagaian pengalaman yang boleh digabungkan dalam satu perjalanan.
Selain jalan-jalan cari makan dan pusing-pusing keliling bandar, anda boleh melihat Teluk Intan dari perspektif yang berbeza dengan menyusuri Sungai Perak menaiki River Cruise Teluk Intan .
Aktiviti ini menawarkan pengalaman santai sepanjang laluan, termasuk melihat bangunan lama, kawasan akuarium ikan, pelbagai jenis burung bangau dan banyak lagi, sambil ditemani pemandu bot yang merangkap pemandu pelancong yang mengendalikan perjalanan tersebut.

Di Bagan Datuk, anda wajib berkunjung ke Ladang Bunga Matahari Bagan Sungai Burung yang terkenal dengan suasana ceria dan hamparan bunga matahari yang berkembang mekar berlatarbelakangkan pelbagai lokasi bergambar yang menarik dan mengujakan.

Manakala di Tanjong Malim pula, singgahlah untuk menikmati kopi dan hidangan di Sarang Art Hub , kafe kreatif yang mempamerkan galeri seni yang diasaskan oleh pengarah filem legenda tanah air, Allahyarham Mamat Khalid.
Hub kebudayaan ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada legasi perfileman beliau, malah menjadi ruang santai untuk menikmati makanan tempatan, persembahan muzik secara langsung serta pelbagai aktiviti seni yang unik. Bagi peminat karya Allahyarham Mamat Khalid, lokasi ini juga memperlihatkan koleksi barangan antik dan prop filem milik beliau dengan lebih dekat.
Jadi, jika selama ini Ipoh sering menjadi pilihan apabila bercuti di Perak, apa kata kali ini halakan perjalanan anda ke Selatan Perak pula? Dengan sejarah, alam semula jadi dan pengalaman tempatan yang tersendiri, kawasan ini menawarkan sisi lain negeri Perak yang mungkin belum pernah anda terokai.
Akses Malaysia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tourism Perak dan majalah Gaya Travel kerana memberi peluang kepada penulis kami untuk mengenali selatan negeri Perak dengan lebih dekat.
Pastikan yang benar, bukan omong kosong































