KUCHING, 30 Ogos 2023 – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) hari ini mengajak pengunjung yang ingin bercuti ke negeri Sarawak untuk berkungjung ke ruang pameran mereka di Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) Fair Kuala Lumpur 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 1 hingga 3 September ini.
STB dan 16 rakan industri lain akan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan dari Sarawak merangkumi kebudayaan, hasil kraftangan, riadah, alam semula jadi, dan hidangan makanan tempatan yang kaya di Sarawak di Astaka Sarawak yang terletak di ruang pameran nombor 1L11 – 1L22.
Selain itu, STB turut menawarkan pakej percutian santai dan aktiviti mencabar seperti lawatan ke rumah panjang tradisional, aktiviti berkayak, mendaki gunung, dan pengenalan kepada pelbagai makanan dan minuman istimewa dari Sarawak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Suriya Charles Buas berkata format pameran baru MATTA Fair memberi peluang kepada peserta pameran untuk mempamerkan produk mereka dengan lebih strategik, terutamanya seni dan kraf.
“Kesemua pengusaha-pengusaha pelancongan dan pameran bukan dagangan ditempatkan secara strategik untuk membolehkan pengunjung melawat ruang pameran ini dapat dengan mudah sambil mempelajari lebih lanjut tentang pakej yang ditawarkan dan membeli hasil kraftangan Sarawak yang mencerminkan keindahan warisan kami. Sekaligus, kami ingin membuktikan bagaimana Kuching berjaya memperoleh anugerah “Bandar Kraftangan Dunia” oleh Majlis Kraftangan Dunia,” katanya.
Selain daripada STB, pameran bukan dagangan merangkumi Syarikat Hutan Sarawak (SFC), Majlis Kraf Sarawak (SCC), Pusat Kecemerlangan Sarawak (CENTEXS), dan Borneo Street KL.
Pengunjung MATTA Fair yang berminat untuk melawat Sarawak boleh berhenti di ruang pameran yang terdiri daripada Brighton Travel & Tour Sdn Bhd, Cat City Holidays Sdn Bhd, CPH Travel Agencies (Sarawak) Sdn Bhd, Greatown Travel Sdn Bhd, Hemisphere, Innosar Holidays Sdn Bhd, Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd, Khaimal Borneo Sdn Bhd, Meritin Hotel Kuching, One Wayang Tours Sdn Bhd, Transworld Travel Services Sdn Bhd, dan Tropical Adventure Travel & Tours Sdn Bhd.
Sehubungan dengan itu, sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung, pengunjung ke Astaka Sarawak boleh menikmati persembahan muzik sape’ pada pukul 12.00 petang, 3.00 petang, dan 5.30 petang setiap hari, dan berpeluang memenangi cenderahati semasa sesi soal jawab tentang tempat-tempat menarik di Sarawak yang dijadualkan pada pukul 11.45 pagi, 2.30 petang, dan 6.00 petang setiap hari.
Tarikan lain termasuk aktiviti seni dan budaya yang akan berlangsung pada pukul 1.00 petang, 4.00 petang, dan 7.00 petang setiap hari di mana pengunjung boleh mengambil bahagian dalam bengkel tarian bersama pahlawan-pahlawan dan wanita-wanita dari kalangan etnik Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Lembaga Pelancongan Sarawak dan penyertaannya dalam Matta Fair KL 2023, layari laman web rasmi Lembaga Pelancongan Sarawak di www.sarawaktourism.com.