Singapura, 4 April 2025 – Bagi peminat dunia selam skuba dan keindahan dasar laut, Asia Dive Expo (ADEX) Ocean Festival 2025 di Singapura sememangnya tidak wajar dilepaskan. Tahun ini, Malaysia melangkah penuh bergaya sebagai Dive Destination Partner, membawakan khazanah marin negara ke pentas serantau untuk dikongsi bersama pengunjung antarabangsa.

Bertempat di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre dari 4 hingga 6 April 2025, festival selaman terbesar dan paling lama berlangsung di Asia ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik. Daripada pameran selaman dan bengkel pemuliharaan marin, hinggalah paparan interaktif yang memukau, acara ini menjadi tumpuan bukan sahaja pencinta selaman tetapi juga pejuang alam sekitar.
Malaysia, dengan kekayaan ekosistem marin dan biodiversitinya, memanfaatkan platform ini untuk memperkenalkan destinasi selaman bertaraf dunia seperti Sipadan, Mabul, Tioman dan gugusan pulau di Terengganu. Ini bukan sahaja tentang mempromosi keindahan terumbu karang yang mempesona, tetapi juga menekankan usaha negara dalam melindungi khazanah laut yang kian terancam.
“Penyertaan Malaysia dalam ADEX Ocean Festival 2025 adalah peluang berharga untuk mengetengahkan keunikan pelancongan bawah laut negara serta komitmen kami terhadap pemuliharaan marin,” jelas Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.
Tambahnya, acara ini turut menjadi pemanas kepada kempen Visit Malaysia 2026 yang bakal menyusul. Tahun 2026 dijangka menjadi momen penting buat industri pelancongan negara dengan fokus kepada tarikan budaya, keindahan semula jadi dan tentunya—pengalaman menyelam yang tidak ternilai.
Di reruai Tourism Malaysia, enam pengendali selaman dari Malaysia mengambil bahagian, mempersembahkan pakej dan pengalaman menarik kepada para pengunjung. Reruai ini bukan sekadar pameran, tetapi medan perkongsian cerita, aspirasi dan cinta terhadap alam laut biru Malaysia.
Dengan pengalaman selama 31 tahun, ADEX bukan hanya sebuah ekspo—ia adalah platform pendidikan dan kesedaran alam sekitar. Setiap tahun, tema festival memberi tumpuan kepada spesies marin tertentu atau isu alam sekitar, sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya pemeliharaan lautan.
Jadi, jika anda berada di Singapura atau merancang untuk ke sana, singgahlah ke ADEX Ocean Festival 2025. Mungkin dengan lawatan ini, akan membuka lagi minda anda untuk mengembara di perairan jernih yang menarik di Malaysia.