KUALA LUMPUR, 10 Jun 2025 — Tourism Malaysia dengan kerjasama hotel ibis Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menganjurkan Festival Makanan dan Budaya Sarawak sempena sambutan Pesta Gawai Dayak sebagai usaha mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Majlis pelancaran festival yang diadakan hari ini turut menandakan permulaan program selama dua minggu bermula 8 hingga 22 Jun, yang mengetengahkan pelbagai sajian tradisional dari Sarawak seperti laksa Sarawak, Manok Pansoh (ayam dimasak dalam buluh), Nuba Laya (beras liar dalam daun isif), umai dan kek lapis.
Festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan penari tempatan bagi mempamerkan kepelbagaian warisan budaya masyarakat Borneo.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata inisiatif itu merupakan antara usaha membawa elemen budaya dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan sebaliknya bagi memperkukuh lagi promosi menjelang VM2026.
“Festival ini bukan sahaja mempromosikan makanan dan budaya, malah turut mempererat hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Goldstone Holdings Berhad Chen Yang yang mewakili ibis KLCC, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datin Rafidah Idris dan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak Rubiah Tul Adawiyah Mohd Yusof.
Pesta Gawai Dayak yang diraikan setiap 1 dan 2 Jun adalah perayaan penting bagi masyarakat Dayak di Sarawak dan disambut bagi menandakan berakhirnya musim menuai.
Pada 2024, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa, peningkatan 31.1 peratus berbanding 2023 dan melepasi paras pra-pandemik 2019 sebanyak 8.3 peratus. Hasil resit pelancongan turut meningkat kepada RM106.78 bilion, peningkatan 43.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, ketibaan pelancong mencecah 13.4 juta, iaitu peningkatan 21.0 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Singapura kekal sebagai pasaran utama diikuti Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia dan United Kingdom.






Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































