SHANGHAI, 28 Mei 2025 – Tourism Malaysia hari ini memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) strategik bersama REDBOOK Holdings Limited, syarikat di sebalik platform gaya hidup popular China, Xiaohongshu, dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan Malaysia ke pasaran China menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
MoC tersebut menandakan permulaan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam mencipta pengalaman digital yang menarik serta memperluas jangkauan kandungan pelancongan Malaysia kepada lebih 300 juta pengguna aktif bulanan platform tersebut, khususnya golongan muda di China.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata platform Xiaohongshu telah membantu Malaysia kekal tular sebagai antara destinasi yang paling banyak dicari dan dibincangkan dalam kalangan pengguna China.
“Kerjasama ini sangat penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi pilihan utama pelancong China, terutama menjelang VM2026. Kami percaya pendekatan kandungan digital dan penceritaan yang autentik akan mampu menarik lebih ramai pelawat ke negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Xiaohongshu Global Business Solutions, Qianyue berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia memandangkan kandungan berkaitan budaya, landskap dan makanan Malaysia sentiasa mendapat perhatian tinggi di platform berkenaan.
“Malaysia menawarkan pelbagai pengalaman yang unik, dan kami akan menggunakan kekuatan ekosistem ‘Discover-Plan-Experience’ Xiaohongshu untuk membantu lebih ramai pengguna meneroka keindahan Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi ini, Tourism Malaysia akan mengendalikan akaun rasmi di Xiaohongshu dan berkongsi kandungan pelancongan melibatkan semua 13 negeri di Malaysia. Platform itu juga akan menyediakan sokongan strategik termasuk pemantauan sentimen, analitik data, dan pengedaran kandungan.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh lagi usaha digitalisasi promosi pelancongan Malaysia di pasaran global, khususnya melalui pendekatan pemasaran berasaskan pengalaman dan kandungan tulen.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































