SHAH ALAM, 13 April 2026 — TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link Malaysia) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik hari ini bagi melengkapkan para pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman perusahaan secara praktikal dan pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.
Kerjasama berjangka masa tiga tahun ini direka khusus untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri. Langkah ini membolehkan graduan UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang sejajar dengan kehendak perusahaan masa kini, sekali gus mendorong kolaborasi yang lebih kukuh antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi.
Teras utama perkongsian ini melibatkan penempatan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada oleh TP-Link di dalam makmal-makmal UiTM. Inisiatif ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai infrastruktur yang digunakan dalam persekitaran perniagaan sebenar. Ia turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal dan akses kepada laluan pensijilan Pentadbir Rangkaian Bertauliah Omada (OCNA). Di samping itu, pelajar juga bakal meraih manfaat daripada peluang latihan industri bersama TP-Link untuk mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Inisiatif terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan kolaborasi TP-Link Malaysia bersama Universiti Malaya sebelum ini, yang menyaksikan lebih 500 pelajar menyertai program pensijilan pada tahun 2025. Pencapaian tersebut secara tidak langsung menonjolkan permintaan yang tinggi terhadap kemahiran dan pensijilan rangkaian yang sejajar dengan keperluan pasaran.
Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd, Hugo Cai berkata, meskipun organisasi merentasi pelbagai industri sedang giat memperluas infrastruktur digital mereka, ketersediaan tenaga pakar dalam bidang rangkaian perusahaan masih belum mencukupi. Beliau menegaskan bahawa kerjasama tersebut tertumpu kepada usaha merapatkan lompang berkenaan dengan membekalkan pelajar kemahiran praktikal berserta pensijilan yang dijamin relevan dengan keperluan industri dari hari pertama mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyifatkan usaha memastikan graduan dilengkapi dengan pengetahuan akademik dan kemahiran praktikal adalah sangat kritikal dalam landskap digital yang pantas berubah pada hari ini. Beliau menambah bahawa kolaborasi sedemikian membolehkan pihak universiti menyelaraskan program pengajian dengan lebih rapat mengikut kemajuan teknologi dan jangkaan industri.
Selain daripada pembangunan bakat pelajar, kedua-dua organisasi akan meneroka inisiatif bersama dalam bidang penyelidikan, perundingan dan pertukaran pengetahuan bagi memupuk kerjasama yang lebih erat antara jurutera TP-Link dan barisan tenaga pengajar UiTM. Memandangkan Malaysia terus memacu cita-cita ekonomi digitalnya, inisiatif yang menghubungkan pendidikan secara langsung dengan keperluan industri akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal berdaya saing untuk membina dan mengekalkan infrastruktur digital moden.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































