KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Tourism Malaysia menganjurkan sesi libat urus strategik VMTM 2025 yang menghimpunkan Pengarah Luar Negara dari 29 pejabat penuh dan empat pejabat wakil pemasaran, bersama rakan kongsi syarikat penerbangan utama, bagi memperkemas pelan tindakan promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program tiga hari bermula 28 hingga 30 September itu memberi tumpuan kepada perbincangan mendalam untuk menyelaraskan usaha pemasaran antarabangsa serta merangka strategi promosi pelancongan di pasaran utama dunia. Langkah ini mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memperluas capaian global dan memperkukuh hubungan pelancongan antarabangsa.
Sesi khas turut menampilkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang menyampaikan mandat strategik serta penekanan terhadap usaha memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran global.
Turut diadakan ialah sesi town hall bersama semua bahagian dalam Tourism Malaysia dan agensi berkaitan, termasuk Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Malaysia My Second Home (MM2H), Bahagian Dasar (Budaya) MOTAC, serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), bagi mempertingkat kerjasama rentas agensi melalui inisiatif yang lebih menyeluruh.
Selain itu, sesi breakout bersama syarikat penerbangan turut berlangsung, melibatkan tiga syarikat penerbangan berpengkalan di Malaysia serta 27 pemain industri penerbangan antarabangsa. Sesi B2B ini membuka ruang perbincangan langsung antara Pengarah Luar Negara Tourism Malaysia dan wakil industri bagi memperkukuh rangkaian laluan udara.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, menegaskan kepentingan pulangan pelaburan (ROI) serta kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan dalam memperluas sambungan udara dan memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Ketibaan pelawat ke Malaysia menunjukkan tanda pemulihan positif di pelbagai rantau. Pasaran utama di kebanyakan wilayah telah pulih sepenuhnya, kecuali Asia Barat, Afrika Utara, Afrika Selatan, dan Afrika Barat. Kami komited untuk mempergiat usaha merangsang pertumbuhan di rantau tersebut bagi mencapai pemulihan sepenuhnya di semua pasaran,” katanya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.