KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bersama Creative Seven Legacy terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Infaq Kasih, yang kini memasuki tahun kedua.
Tahun ini, program ini diperhebatkan dengan kerjasama strategik bagi menyalurkan bantuan kepada golongan miskin bandar di Lorong Haji Taib 2, Kuala Lumpur.

Program Infaq Kasih 2025 menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada komuniti, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, klinik pergigian bergerak, serta terapi psiko-pendidikan bagi kesejahteraan mental.
Selain itu, program ini turut melaksanakan edaran Infaq Kasih yang menyediakan keperluan asas kepada golongan memerlukan.
Bagi aspek pendidikan agama, program interaktif ‘Jawablah Ustaz’ diadakan untuk memberikan pencerahan mengenai isu-isu keagamaan. Tidak ketinggalan, persembahan seni busking turut dipersembahkan sebagai hiburan kepada komuniti setempat.
Inisiatif ini mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik seperti Ronald McDonald House Charities (RMHC), KL Hop On Hop Off, Wipro Unza (M) Sdn Bhd, Syarikat Laksamana Usaha Noodle Products Sdn Bhd, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd, Pharmaniaga Berhad, dan Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd.
Pada Jumaat lalu, lebih 400 bakul makanan telah diagihkan kepada 150 keluarga miskin bandar. Setiap bakul mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, biskut, bihun dan ketupat segera.
Selain itu, mee Laksamana, barangan mandian kanak-kanak Wipro Unza, set ‘Happy Meal’ McDonald’s, snek Mamee serta 500 set vitamin daripada Pharmaniaga turut diberikan bagi membantu golongan yang memerlukan.



Menggalakkan amal jariah di bulan Ramadan
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato’ Seri Dr. Hj Irmohizam Ibrahim, berkata program ini bertujuan menggalakkan umat Islam untuk beramal jariah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.
“Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk mengumpul ganjaran pahala dengan membantu mereka yang memerlukan. Saya percaya program ini mampu mencipta kesan positif yang dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih pemurah serta memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.” katanya beliau lagi.
Program ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh industri, antaranya Ikhlas Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlasdotcom; Mr. Saravanan Palanisamy, Pengurus Besar (Pembuatan) Wipro Unza; Tuan Syed Azhar Syed Nadzir, Ketua Pegawai Eksekutif KL Hop On Hop Off; Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia; Anne Dalissa Ariff daripada Creative Seven Legacy; Ahmad Syukry Ibrahim, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd; serta Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM.
Dengan komitmen berterusan daripada WTCKL, Creative Seven Legacy dan rakan strategik, program Infaq Kasih terus menjadi platform penting dalam memperkasakan komuniti yang memerlukan dan memperkukuh perpaduan sosial.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.