KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 – AirAsia X Berhad (AirAsia X) secara rasminya telah memuktamadkan pengambilalihan AirAsia Berhad (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Berhad (Capital A), sekaligus menyatukan kesemua operasi penerbangan di bawah satu bumbung.
Penyelesaian urus niaga pada 18 Januari itu menandakan terbentuknya satu platform penerbangan tunggal yang dikenali sebagai AirAsia Group, manakala Capital A kini beralih fokus untuk mengembangkan portfolio bukan penerbangan.
Urus niaga tersebut diselesaikan menerusi peruntukan dan terbitan lebih 2.3 bilion saham biasa baharu dalam AirAsia X kepada Capital A dan pemegang saham yang layak. Selain itu, AirAsia X turut mengambil alih hutang berjumlah RM3.8 bilion yang sebelum ini ditanggung oleh Capital A kepada AAB.
Susulan pengambilalihan itu, saham-saham baharu tersebut serta lebih 606 juta saham penempatan persendirian kepada pelabur pihak ketiga dijadualkan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada hari ini, 19 Januari 2026.
Pengerusi AirAsia X, Dato’ Fam Lee Ee menyifatkan penyatuan ini sebagai detik penentu bagi kumpulan tersebut.
“Dengan selesainya penyatuan ini, kami telah menubuhkan platform penerbangan yang lebih kukuh dan tersusun yang berada pada kedudukan baik untuk pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan nilai jangka panjang.
“Lembaga Pengarah yakin integrasi ini akan membuka sinergi yang ketara, selain memperkukuh kepimpinan AirAsia Group di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Langkah penggabungan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan, termasuk penggunaan armada pesawat yang lebih baik serta perancangan rangkaian penerbangan yang lebih bersepadu.
Kumpulan itu kini sedang memuktamadkan tempahan pesawat tambahan bagi memperluas jangkauannya untuk menghubungkan dunia ke ASEAN dan ASEAN ke dunia, selaras dengan cita-cita model rangkaian kos rendahnya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































