PATTANI, 30 November 2023 – Lebih 120 usahawan dari Malaysia, Thailand dan Singapura berhimpun di pusat membeli belah Wakaf ASEAN Mall di Pattani, Thailand sepanjang ASEAN Halal Expo 2023 (AHEX23) yang bermula hari ini sehingga 3 Disember 2023.
Acara yang berlangsung untuk tahun kedua itu telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Ismail Luthfi Japakiya, Rektor Universiti Fatoni bagi mewakili Wan Muhammad Noor Matha, Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara Thailand.
Pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dari Malaysia turut bekerjasama menjayakan acara pada tahun ini seperti SME Bank, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK), Unit Perancang Ekonomi Kelantan (UPEN Kelantan), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
Agensi-agensi ini bertindak sebagai pembiaya bagi usahawan-usahawan yang menyertai expo ini, selain Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah menaja AHEX23 kali ini.
Berikutan dari kejayaan anjuran pada tahun lepas, penganjur AHEX23, UNITI Asia Link Sdn Bhd dengan kerjasama dari One Stop Center Co. Ltd dan UNITI Group Co. Ltd, menjangkakan 50,000 pengunjung dari Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala, selain tetamu dari negara-negara lain.
Selain peningkatan jumlah pengunjung, pihak penganjur turut menjangkakan peningkatan jumlah jualan dan tempahan lebih dari 100% berbanding tahun lalu.
AHEX23 turut menarik lebih dari 25 syarikat besar Thailand sebagai pembeli kepada produk halal 50 syarikat-syarikat Malaysia dan Singapura.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dipetik dari ucapannya berkata Kerajaan Malaysia amat komited menjalin kerjasama dengan negara-negara jiran terutamanya Thailand dan Indonesia.
“Pada hemat saya, inisiatif ASEAN Mall dan ASEAN Halal Expo ini amatlah bertepatan dengan hasrat Malaysia kerana ia sedang membina sebuah akses pasaran baru yang akan memberi manfaat bersama,” kata beliau lagi.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang AHEX23 berlangsung seperti Bicara Niaga Halal, forum, business pitching, padanan niaga, jaringan niaga, pertandingan permainan kanak-kanank ‘artera’, e-sukan, dan pertadingan nasyid yang dianjurkan oleh Global Ikhwan.
Pengarah ASEAN Halal Expo 2023, Zamri Bin Mohd Said berkata beberapa syarikat-syarikat dari Malaysia, Singapura dan Thailand turut mengambil peluang menandatangani memorandum persefahaman untuk mewujudkan kerjasama perniagaan bagi memasarkan produk-produk halal Malaysia dan Singapura di Thailand.
“Ini membuktikan AHEX23 mampu menyediakan peluang yang besar kepada usahawan-usahawan yang terlibat,” kata beliau lagi.
UNITI Office Sdn Bhd turut mengumumkan pelancaran pejabat maya bagi cawangan ASEAN Mall di Pattani untuk menyediakan kemudahan pejabat yang murah untuk usahawan-usahawan ASEAN memiliki premis perniagaan di Pattani bagi menjalankan aktiviti perniagaan, sekaligus mengembangkan perniagaan di sini.
Beberapa program kebajikan turut dianjurkan sempena AHEX23. Yayasan UNITI dengan kerjasama UNITI Waqi dan UNITI Asia Retails Co. Ltd telah menyumbangkan derma kepada lebih 200 fakir miskin di Pattani melalui program “Bantu Pattani”. Selain itu, MyMedical HealthCare, syarikat dari Malaysia pula telah menyalurkan sumbangan berbentuk khidmat berkhatan secara percuma kepada anak-anak fakir miskin Pattani.
ASEAN Halal Expo diadakan setiap tahun bertujuan untuk membuka peluang kepada usahawan-usahawan Malaysia dan ASEAN yang lain untuk mengeksport produk-produk halal ke Thailand, sekaligus menjadikan ASEAN Mall sebagai pintu masuk untuk menembusi pasaran Indochina.
Ini seiring dengan hasrat dan persetujuan kerajaan Thailand dan Malaysia yang telah diumumkan baru-baru ini untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama membangunkan sempadan khususnya di Selatan Thailand.