PETALING JAYA, 7 Oktober 2025 — CelcomDigi Berhad hari ini memperkenalkan aplikasi CelcomDigi, platform mudah alih baharu yang menggabungkan kelebihan dua aplikasi terdahulu — Celcom Life dan MyDigi — bagi memberikan pengalaman digital yang lebih menyeluruh, selamat dan diperibadikan kepada lebih 20 juta pelanggannya di seluruh negara.
Dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan dalaman, aplikasi ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasi pasca penggabungan syarikat. Ia menjadi nadi utama dalam usaha CelcomDigi menyatukan jenama dan perkhidmatan di bawah satu ekosistem digital.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty, berkata pelancaran ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memberi tumpuan kepada pelanggan.
“Aplikasi ini menyatukan semua kemudahan dalam satu platform; dari pengurusan talian, langganan hiburan, tambah nilai automatik, hinggalah ciri keselamatan berasaskan AI. Ia menjadikan pengalaman pelanggan lebih mudah, pintar dan selamat,” katanya.
Aplikasi CelcomDigi dibangunkan berasaskan maklum balas lebih 10 juta pengguna serta ujian beta oleh 100,000 pengguna. Ia menampilkan tiga tema utama — Kemudahan Harian, Gaya Hidup Digital, dan Momen Menggembirakan.
Antara ciri menarik ialah Auto-Reload Magic bagi memastikan talian prabayar kekal aktif, langganan hiburan seperti Disney+ dan Viu terus dari aplikasi, serta perlindungan keselamatan seperti log masuk biometrik dan eKYC. Ciri “For You” pula menawarkan promosi diperibadikan berdasarkan tabiat penggunaan setiap pelanggan.
Selaras dengan peningkatan kes penipuan dalam talian, CelcomDigi turut memperkenalkan MobileSHIELD melalui aplikasi ini. Dengan hanya RM4 sebulan, pelanggan boleh melindungi peranti daripada serangan siber dan aplikasi berbahaya.
Bersempena pelancaran, pengguna boleh menikmati promosi khas termasuk 100GB data berkelajuan tinggi pada harga RM1, diskaun langganan hiburan dan panggilan antarabangsa percuma selama 12 bulan untuk pelanggan pascabayar.
Aplikasi baharu CelcomDigi kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store, manakala aplikasi Celcom Life dan MyDigi akan ditamatkan pada 31 Disember 2025.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.