KUALA LUMPUR, 25 Januari 2026 – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menyuarakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan sebuah badan pemantau bebas di Malaysia, mirip ‘Charity Commission’ di United Kingdom, bagi memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti organisasi kebajikan di negara ini.
Saranan itu dibuat seiring dengan pertumbuhan pesat sektor ketiga (NGO) di Malaysia, yang menuntut ekosistem yang lebih telus dan diyakini rakyat dalam pengurusan dana awam.
Islamic Relief dalam satu kenyataan berkata, pengalaman 41 tahun di peringkat global dan 21 tahun di Malaysia membuktikan bahawa amanah awam perlu diterjemahkan kepada impak yang boleh diukur dan diaudit secara ketat.
“Islamic Relief sentiasa menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik dengan penekanan jelas terhadap akauntabiliti.
“Setiap sumbangan awam diurus secara telus, berintegriti dan melalui proses audit berkala oleh firma antarabangsa Grant Thornton serta dipantau oleh Charity Commission United Kingdom,” menurut kenyataan tersebut.
Menutup tirai tahun 2025, rekod prestasi Islamic Relief di peringkat global mencatatkan impak luar biasa apabila memberi manfaat kepada hampir 26.7 juta individu menerusi 607 projek kemanusiaan di 35 buah negara.
Fokus bantuan meliputi sektor kritikal seperti keselamatan makanan, kesihatan, dan perlindungan kanak-kanak, termasuk penajaan lebih 85,000 anak yatim di mana 22,500 daripadanya berada di Gaza, Palestin.
Di peringkat tempatan pula, IR Malaysia telah menyantuni 36,793 individu sepanjang tahun lalu menerusi bantuan bermusim, respons bencana banjir, serta program pembangunan pendidikan seperti Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE).
Melangkah ke tahun 2026, organisasi ini merancang memperluas bantuan strategik yang bersifat mampan seperti projek pertanian hidroponik dan keusahawanan, selain terus menyalurkan bantuan kecemasan ke lokasi berisiko tinggi seperti Palestin, Syria, Lubnan, Sudan dan Yaman.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































