PUTRAJAYA, 7 Oktober 2026 — Kerajaan akan mempergiat penggunaan Hampas Isirung Sawit (Palm Kernel Cake — PKC) sebagai sumber alternatif makanan ternakan tempatan, di samping memperkukuh kesiapsiagaan sektor padi untuk menghadapi risiko perubahan iklim dan fenomena El Niño.
Kedua-dua langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2026 yang diadakan pada 6 Oktober.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Haji Sabu, serta menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Bagi sektor ternakan, penggunaan PKC akan diperkasa dan dioptimumkan sebagai alternatif yang lebih mampan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan makanan ternakan import serta mengawal tekanan kos input penternakan.
Pada masa yang sama, kerajaan akan membangunkan pelan kesiapsiagaan dan mitigasi yang lebih menyeluruh bagi tanaman padi di Kawasan Muda, khususnya dalam aspek pengurusan risiko susulan perubahan iklim dan fenomena El Niño.
Langkah itu penting bagi memastikan pengeluaran padi dapat dilindungi daripada gangguan cuaca yang berpotensi menjejaskan hasil dan bekalan beras negara.
Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pendekatan menyeluruh.
Pendekatan itu termasuk meningkatkan daya tahan pengeluaran tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan bekalan makanan kekal mencukupi, selamat dan mampu diperoleh rakyat.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.

































