SANTIAGO, Chile, 7 Oktober 2026 — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkukuh kehadiran produk agromakanan Malaysia di pasaran Amerika Latin dengan menyertai Espacio Food & Service 2026 di Santiago, Chile.
Pameran yang berlangsung dari 29 September hingga 2 Oktober itu menjadi platform bagi Malaysia mempromosikan produk agromakanan tempatan serta meneroka peluang pasaran baharu di rantau berkenaan.
Malaysia turut menampilkan dua syarikat Export Management Companies (EMC) yang berpangkalan di Amerika Utara bagi mempromosikan pelbagai produk agromakanan, termasuk produk konfeksionari dan bahan makanan, rempah-ratus, roti, produk cili bawang putih sedia dimasak serta kopi pracampur.
Reruai Malaysia mendapat sambutan daripada pengimport, pengedar dan pemain industri tempatan, selain pelawat perniagaan dari beberapa negara Amerika Latin termasuk Argentina dan Brazil.
Menurut KPKM, sambutan itu mencerminkan potensi produk agromakanan Malaysia untuk menembusi dan mengembangkan pasaran di rantau tersebut.
Penyertaan Malaysia dalam ekspo berkenaan turut disokong oleh Duta Besar Malaysia ke Chile, Tuan Yang Terutama R. Suresh Kumar, bersama pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia di Santiago dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Santiago.
Pada 2025, eksport produk pertanian Malaysia ke Chile bernilai RM405.01 juta, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan eksport Malaysia ke negara itu.
Nilai eksport berkenaan antara lain didorong oleh produk input pertanian seperti baja.
Dalam tempoh yang sama, import produk pertanian dari Chile ke Malaysia pula bernilai RM402.24 juta, termasuk hasil laut seperti ikan, krustasea dan moluska serta produk nilai tambah.
KPKM berkata penyertaan dalam pameran itu merupakan platform strategik untuk memperluas promosi produk agromakanan Malaysia, meneroka peluang pasaran baharu, membina jaringan dan rakan dagang antarabangsa serta memperkukuh kebolehpasaran produk tempatan di Amerika Latin.
Usaha memperluas pasaran itu turut disokong akses pasaran melalui kemudahan keutamaan di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), sekali gus menyediakan peluang lebih luas kepada produk agromakanan Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.

































