KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Kerajaan meletakkan sasaran untuk mempertingkatkan Indeks Kualiti Air (IKA) sekurang-kurangnya 10 peratus bagi 33 batang sungai yang dikategorikan tercemar di seluruh negara dalam tempoh setahun, disusuli pengiktirafan kepada kerajaan negeri yang berjaya menepati sasaran tersebut.
Ketetapan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, hari ini.
Berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai 2025 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), jumlah sungai tercemar memaparkan trend menaik daripada 25 batang sungai pada 2023, kepada 27 sungai (2024) dan seterusnya 33 sungai (2025), dengan kandungan penyebab utama pencemaran dikenal pasti adalah Ammoniacal Nitrogen (AN).
Bagi menangani isu ini, JKKAS memutuskan untuk melaksanakan kajian rintis pengurusan punca tidak tetap (NPS) secara bersepadu di satu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih bagi menilai beban pencemaran dan merangka pelan intervensi, selain menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Piawaian Pelepasan Efluen yang dipengerusikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama NAHRIM.

Dalam mesyuarat sama, kerajaan turut melancarkan Garis Panduan Pemasangan Panel Solar Terapung di Atas Takungan Air dan Tasik di Malaysia sebagai panduan pembangunan mampan sumber air.
Di dalam kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan strategi menyeluruh yang dirangka ini amat penting untuk mengekang masalah pencemaran terus dari akar umbi dan menjamin kelangsungan bekalan air negara yang bersih melalui kerjasama pelbagai peringkat pentadbiran.
“Langkah-langkah bersepadu ini akan memperkukuh kawalan pencemaran di punca, melindungi sumber air dan meningkatkan keselamatan air negara. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menyelaras tindakan pemuliharaan bagi memastikan sungai negara terpelihara,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































