PUTRAJAYA, 30 September 2026 – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengurusan Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pengurusan pertubuhan tidak berdaftar.
Tertuduh, Zafar Ahmad Abdul Ghani, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret.
Mahkamah menetapkan 30 Oktober 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pendakwaan itu dibuat susulan siasatan oleh Bahagian Penguatkuasaan JPPM terhadap aktiviti MERHROM di media sosial, termasuk kenyataan awam oleh tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai Presiden MERHROM.
Hasil semakan mengesahkan pertubuhan MERHROM tidak pernah berdaftar dengan JPPM, manakala tertuduh juga bukan pemegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar menggunakan nama berkenaan.
“JPPM memandang serius sebarang aktiviti pengurusan, pengendalian atau promosi pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan jabatan itu.
Pihak JPPM turut menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































