Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan (JDPI), Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) telah melaksanakan program khidmat komuniti di Sekolah Alternatif, Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah yang diasaskan oleh Borneo Komrad. Program ini bertujuan menyantuni pelajar tanpa kerakyatan yang menghadapi halangan untuk mendapat pendidikan formal. Dalam masa yang sama, pengisian program diisi dengan slot yang memberikan sokongan moral dan bimbingan dalam 3M+1 iaitu Membaca, Menulis, Mengira, dan Mengaji, sambil mengukuhkan kefahaman asas Islam dalam kalangan pelajar. Seramai 15 orang mahasiswa menjadi sukarelawan dalam program ini, yang melibatkan hampir 30 pelajar.
Dengan tema “Pendidikan Untuk Semua,” para sukarelawan melihat pendidikan sebagai kunci utama untuk mengubah masa depan, sesuai dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya terus menuntut ilmu. Selain memberi pendedahan akademik, program ini memupuk nilai-nilai kasih sayang, empati, dan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam mengubah nasib komuniti yang terpinggir. Sukarelawan berharap dapat memberi motivasi kepada pelajar agar mereka tidak melihat status kewarganegaraan sebagai halangan untuk mencapai cita-cita.
Menurut pengarah program, saudara Azamuddin Ali, program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu pendidikan bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan, tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan konsep pembelajaran yang dipelajari dalam situasi sebenar. “Antara objektif kami adalah untuk memberikan motivasi kepada anak-anak ini agar mereka memahami bahawa status mereka bukanlah penghalang kepada cita-cita. Kami ingin menanamkan kesedaran bahawa pendidikan adalah kunci kepada perubahan masa depan. Selain itu kefahaman asas Islam turut diterpakan dalam setiap modul dan pengisian program,” katanya.
Modul pendidikan yang diisi dalam program ini menggunakan pendekatan Fun Learning dan Game-Based Learning. Salah satu aktiviti yang dilaksanakan ialah Modul Klinik Al-Fatihah, yang menggunakan pendekatan Fun Learning. Melalui kaedah pembelajaran ini, pelajar lebih mudah memahami konsep-konsep agama Islam dalam suasana yang interaktif dan menyeronokkan. Elemen permainan turut digunakan untuk mengaitkan asas Islam dengan kehidupan seharian pelajar. Modul ini juga menekankan nilai kerjasama dan semangat berpasukan, yang membantu membentuk sahsiah pelajar. Pendekatan ini menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, memudahkan mereka memahami nilai-nilai Islam dengan cara yang lebih santai.
Bagi kebanyakan pelajar Sekolah Alternatif, program ini sangat berharga kerana memberi mereka pendedahan baru dalam pendidikan. Ramai pelajar menyatakan pendidikan adalah kunci untuk melindungi diri daripada dieksploitasi atau dipergunakan dan memberi peluang untuk menyumbang kepada masyarakat. Para sukarelawan turut mengadakan sesi motivasi yang menekankan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan dan membuka peluang masa depan yang lebih cerah. Slot khas “Arah dan Aspirasi” memberi penekanan kepada peranan pendidikan dalam Islam yang menuntut umatnya untuk mencari ilmu sepanjang hayat.
Program ini juga mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi dan institusi dan beberapa individu. Antaranya Yayasan Amal Malaysia, rakan kerjasama dalam menjayakan program ini dengan membantu para sukarelawan dalam menyediakan makanan buat para sukarelawan dan pelajar Sekolah Alternatif. Kemudian, Yayasan Restu Nasyrul Quran menyumbangkan naskhah Al-Quran bagi kegunaan para pelajar di sekolah untuk membaca al-Quran dalam kelas mengaji, manakala Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyumbangkan buku-buku untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut menyumbang bahan bacaan yang memberi kesedaran mengenai hak asasi manusia. Selain itu, Zaman Apparel menaja pakaian rasmi sukarelawan dengan jahitan yang kemas dan menarik, dan Mudim Zakaria Food Industries Sdn. Bhd. menyumbangkan produk makanan yang membantu melengkapkan keperluan pelajar. Tuan Abu Salihu Hj. Mohamed Shariff dan isteri beliau juga antara penyumbang dana terbesar dalam membantu melancarkan program ini.
Program khidmat komuniti ini menunjukkan bahawa mahasiswa universiti berperanan penting dalam mengangkat masyarakat yang terpinggir. Usaha ini bukan sahaja menyantuni pelajar tanpa kerakyatan, tetapi juga memperkukuh hak pendidikan sebagai hak asasi yang harus dinikmati oleh semua tanpa diskriminasi. Pendekatan pembelajaran yang interaktif dan bimbingan moral yang diberikan memberi impak positif kepada pelajar, membuka perspektif baru tentang pentingnya pendidikan dalam membina masa depan yang lebih baik. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan usaha ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.