KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 — Agensi perdagangan dan pelaburan kerajaan North Rhine-Westphalia (NRW), NRW.Global Business, hari ini secara rasmi melancarkan Meja Perkhidmatan ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur bagi memperkukuh hubungan ekonomi antara Jerman dan rantau ASEAN.
Pelancaran itu disempurnakan semasa Meja Bulat Perniagaan bertemakan “Peluang Perniagaan antara NRW dan Malaysia – Memperkenalkan Meja Perkhidmatan ASEAN NRW.Global Business”, yang menghimpunkan syarikat, agensi pembangunan ekonomi serta pemangkin industri dari Malaysia dan Jerman.
Ketua Pegawai Eksekutif NRW.Global Business, Felix Neugart, berkata pelancaran meja perkhidmatan itu akan menyediakan titik perhubungan tetap bagi menyokong syarikat serta pelabur dari rantau ASEAN.
“Melalui kehadiran terus ini, kami ingin memperkenalkan NRW sebagai lokasi pelaburan yang inovatif serta menarik di peringkat global, selain menggalakkan kerjasama dalam bidang seperti pendigitalan, teknologi lestari dan penyelidikan,” katanya.
Meja Perkhidmatan ASEAN akan menyediakan maklumat berkaitan peluang perniagaan dan pelaburan di NRW, termasuk sokongan praktikal kepada syarikat yang ingin menembusi pasaran Jerman.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC), Jan Noether, berkata kerjasama dengan NRW.Global Business akan mengukuhkan lagi akses syarikat ASEAN ke pasaran Jerman.
“NRW menawarkan pelbagai peluang untuk syarikat ASEAN dan pembukaan meja perkhidmatan ini merupakan langkah penting ke arah memudahkan kemasukan pasaran,”katanya.
North Rhine-Westphalia merupakan negeri perindustrian terbesar di Jerman, menempatkan lebih 700 pusat penyelidikan dan institusi pendidikan tinggi serta menjadi hab utama bagi sektor teknologi dan inovasi di Eropah.
Dengan pelancaran Meja Perkhidmatan ASEAN ini, NRW.Global Business menyasarkan untuk mempertingkatkan kerjasama ekonomi dua hala serta membuka laluan baharu kepada pelaburan strategik antara Malaysia dan Jerman.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.