KUALA LUMPUR, 5 Mac 2025 – Kesedaran terhadap kelestarian alam semakin meningkat dalam kalangan pelancong Malaysia, dengan hampir 80% mengambil kira faktor kelestarian dalam perancangan perjalanan mereka bagi tahun 2025.
Berdasarkan Tinjauan Perjalanan Lestari 2025 oleh Agoda, Malaysia kini berada di kedudukan keempat di Asia sebagai pasaran pelancongan paling prihatin terhadap kelestarian, mengatasi purata keseluruhan pelancong Asia sebanyak 68%.
Kajian yang melibatkan lebih 6,000 responden dari 11 pasaran Asia ini menonjolkan trend pelancongan lestari yang semakin berkembang, di mana pelancong kini lebih cenderung kepada pengalaman yang autentik, bermakna dan mengelakkan perjalanan pada musim puncak.

Kesedaran komuniti mendorong pilihan lebih lestari
Pelancong Malaysia semakin menitikberatkan kesan terhadap komuniti dalam usaha mereka untuk mengamalkan pelancongan lestari.
Sebanyak 28% responden menyatakan bahawa menyokong komuniti dan ekonomi tempatan adalah sebab utama mereka memilih perjalanan yang lestari.
Selain itu, 24% mengutamakan nilai dan kepercayaan peribadi, manakala 24% lagi memberi penekanan kepada pengalaman pelancongan yang lebih bermakna dan autentik.
Pilihan perjalanan lebih bertanggungjawab
Tinjauan juga mendapati bahawa ramai pelancong Malaysia kini membuat keputusan lebih bijak dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Sebanyak 24% memilih untuk melancong di luar musim puncak bagi mengurangkan kesesakan, 19% memilih penginapan yang mempunyai pensijilan kelestarian, dan 18% menyokong perniagaan kecil serta usaha pemeliharaan budaya tempatan.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata trend ini selari dengan fokus utama Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menekankan kepentingan kelestarian alam dalam sektor pelancongan.
“Melihat pelancong Malaysia semakin cenderung untuk memberikan kesan positif amat menggembirakan, dan Agoda bersedia untuk menyokong perjalanan mereka. Melalui program Eco Deals, pelancong bukan sahaja dapat menikmati diskaun menarik, tetapi juga menyumbang kepada usaha pemuliharaan tempatan, di mana setiap tempahan melalui program ini akan menyumbang satu dolar AS kepada projek pemuliharaan WWF,” katanya.
Sejak pelancaran edisi 2025, program Eco Deals Agoda telah menawarkan diskaun sehingga 15% di hotel-hotel rakan kongsi di 10 pasaran Asia, termasuk Jepun dan Korea Selatan yang menyertai kempen ini buat pertama kali.
Setiap tempahan menerusi Eco Deals akan menyumbang kepada projek pemuliharaan hidupan liar dan habitat kritikal di Asia.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran dan inisiatif perjalanan lestari Agoda, layari agoda.com/ecodeals .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.