KUALA LUMPUR, 23 Julai 2026 – Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat penerbitan Brainchild Pictures menganjurkan tayangan perdana tempatan bagi “ITAM: A Sun Bear Story”, sebuah dokumentari penuh pertama negara mengenai beruang madu (Sun Bear), menjelang tayangan rasminya di pawagam seluruh negara bermula hari ini.
Diterbitkan oleh Brainchild Pictures, dokumentari ini melakar sejarah sebagai filem dokumentari penuh pertama di Malaysia yang dikeluarkan secara serentak dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Mandarin.
Bagi memastikan konsistensi dan penyampaian emosi yang berkesan, kesemua versi bahasa berkenaan disuarakan oleh personaliti TV dan pengacara terkenal, Baki Zainal, sekali gus membolehkan filem ini diakses dengan mudah oleh penonton daripada pelbagai latar belakang bahasa.
Sebagai antara negara yang mempunyai kepelbagaian biologi tertinggi di dunia, Malaysia merupakan habitat kepada Beruang Madu Malaya yang merupakan spesies beruang terkecil di dunia serta simbol penting kepada warisan semula jadi negara.
Spesies ini turut dipilih sebagai ikon utama bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi maskot rasmi iaitu Wira dan Manja, yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai destinasi yang mesra, dinamik, dan prihatin terhadap alam sekitar.
Filem yang menjalani penggambaran di kawasan hutan hujan di Sabah ini memaparkan perjalanan inspirasi seekor beruang madu yang diselamatkan bernama Itam. Filem ini merakamkan proses pemulihan Itam di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) sehinggalah haiwan berkenaan dilepaskan semula ke habitat asal di hutan liar.
Menerusi sinematografi dan penceritaan yang menarik, dokumentari ini menawarkan pandangan terperinci mengenai spesies beruang yang jarang dikaji ini serta usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh pihak berkaitan.
Dokumentari berkenaan turut menayangkan beberapa lokasi ekopelancongan dan kawasan semula jadi di Sabah, merangkumi BSBCC di Sepilok dan Rizab Hidupan Liar Tabin. Paparan lokasi-lokasi ini sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai antara destinasi utama dunia bagi pemuliharaan hidupan liar dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Tayangan di pawagam seluruh negara ini menyusuli siri tayangan perdana eksklusif yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, dan Kota Kinabalu. Acara-acara berkenaan menghimpunkan pemimpin kerajaan, ahli pemuliharaan, pembikin filem, pemegang taruh industri pelancongan, pendidik, serta orang awam bagi meraikan pencapaian industri perfileman tempatan dan usaha pemuliharaan hidupan liar.
Selain berfungsi sebagai karya hiburan, “ITAM: A Sun Bear Story” bertujuan memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti, penjagaan alam sekitar, dan amalan pelancongan bertanggungjawab. Filem ini menunjukkan bagaimana pendekatan penceritaan mampu mewujudkan hubungan antara masyarakat dengan alam semula jadi, di samping menggalakkan sokongan terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar unik di Malaysia.
Tourism Malaysia terus menyokong inisiatif strategik yang mempromosikan kepelbagaian tawaran pelancongan negara menerusi penceritaan karya tempatan. Selaras dengan kempen VM2026, dokumentari ini dijangka memperkukuh reputasi global Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang menawarkan pengalaman landskap semula jadi, warisan budaya, dan usaha pemuliharaan bertaraf antarabangsa.
Langkah promosi ini dilaksanakan seiring dengan peningkatan prestasi sektor pelancongan negara. Sepanjang tahun 2025, Malaysia merekodkan ketibaan 42.2 juta pelawat antarabangsa, iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 38.0 juta ketibaan pada tahun 2024. Trend pertumbuhan positif ini berterusan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, yang mana Malaysia mencatatkan 17.5 juta ketibaan pelawat, iaitu peningkatan 3.4 peratus berbanding 16.9 juta pelawat bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































