KUALA LUMPUR, 8 Julai 2024 – Universiti Malaya (UM) melalui Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan dan Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (INPUMA-UMLEAD) telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Dalam Negeri, YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sempena penganjuran Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Khas Timor Leste.
Program yang berlangsung di Hotel Wyndham Grand, Bangsar Kuala Lumpur ini, menampilkan pengalaman Malaysia dalam polisi awam dan kepimpinan dengan tema tata kelola baik, reformasi institusi, dan pembinaan masa depan yang berdemokrasi. Penganjuran ini selari dengan pendirian Malaysia yang menyokong permohonan keanggotaan Timor Leste untuk menyertai Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Dalam ucap tama beliau, YB Datuk Seri Saifuddin menekankan pentingnya konsep Malaysia bersih sebagai usaha berterusan yang memerlukan dukungan padu daripada kerajaan dan rakyat. Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam memperkasa dan membudayakan governans dalam polisi awam dengan delegasi dari Timor Leste.
Pihak INPUMA dan pengurusan tertinggi UM menyampaikan penghargaan tinggi kepada YB Menteri Dalam Negeri atas kesudian beliau meluangkan masa dan menyampaikan ucapan. Program MTCP Khas Timor Leste tahun ini melibatkan 15 peserta, terdiri daripada pegawai kerajaan dan penggubal polisi kanan dari Timor Leste, yang telah dipilih untuk mengikuti program latihan khas ini.
Program ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta memperkasa pembangunan kapasiti dalam kalangan negara-negara serantau, khususnya Timor Leste.