KUALA LUMPUR, 10 Julai 2025 – Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan halal negara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Shandong Huifa Foodstuff Co. Ltd., sebuah syarikat makanan berteknologi tinggi yang tersenarai di papan utama Shanghai Stock Exchange.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Bilik Mesyuarat High Impact Research (HIR), Universiti Malaya, disaksikan oleh Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dan YBhg. Dato’ Dr. Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Halword merangkap Penasihat Syariah Shandong Huifa.
Perkongsian strategik Malaysia–China dalam ekosistem Halal
Kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam usaha membina keupayaan halal global melalui latihan profesional, pembangunan kurikulum halal, dan pengukuhan pendidikan halal di institusi pengajian tinggi di China.
Ia juga memberi peluang kepada pelajar dan tenaga akademik Universiti Malaya menjalankan penyelidikan bersama, latihan industri, serta pertukaran ilmiah dalam bidang halal dan keselamatan makanan.
Pengarah UMHRC dan Ketua Perunding Dasar Halal Negara, Prof. Madya Dr. Zalina Zakaria, berkata MoU tersebut menandakan kepercayaan China terhadap kepakaran Malaysia dalam sistem jaminan halal.
“Shandong Huifa bukan sahaja syarikat tersenarai (di papan bursa), tetapi juga antara pemain utama dalam industri makanan global. Hubungan ini bersifat strategik, bagi membina keupayaan halal yang diiktiraf dunia,” jelasnya.
Shandong Huifa: Peneraju industri makanan berteknologi tinggi
Ditubuhkan pada 2005, Shandong Huifa kini muncul antara syarikat makanan paling berpengaruh di China, dengan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran, jualan, dan perkhidmatan rantaian bekalan makanan sihat serta hidangan siap sedia.
Beroperasi di kawasan seluas 400,000 meter persegi dengan lima pangkalan pengeluaran di Shandong, syarikat itu turut memiliki pusat penyelidikan bertaraf tinggi termasuk Academician Workstation dan National-Local Joint Engineering Research Center for Marine Functional Frozen Prepared Foods, menjadikannya peneraju inovasi dalam teknologi makanan sejuk beku dan produk berasaskan maritim.
UMHRC: Dari akademia ke dasar negara
Sejak ditubuhkan pada 2014, UMHRC telah menjalankan pelbagai inisiatif penyelidikan, latihan dan dasar industri halal di dalam dan luar negara. Ia kini diiktiraf oleh JAKIM sebagai penyedia latihan halal di bawah Halal Professional Training Programme dan menjadi rakan strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA).
UMHRC turut diberi mandat rasmi sebagai perunding utama Dasar Halal Negara (DHN 2035), satu projek strategik nasional bernilai RM2 juta diterajui JAKIM yang bertujuan memperkukuh ekosistem halal Malaysia dari aspek tadbir urus, inovasi dan pengiktirafan global menjelang 2035.
Halal sebagai diplomasi global
Dengan termeterainya MoU ini, UMHRC turut memaklumkan hasrat untuk memperluas jaringan strategik antarabangsa, khususnya dengan China sebagai rakan utama dalam inisiatif Laluan Sutera Halal (Halal Silk Road).
“Kami percaya bahawa perkongsian pengetahuan dan kepercayaan ialah asas kejayaan ekosistem halal dunia. MoU ini menjadi langkah penting ke arah memperkukuh diplomasi halal antara Malaysia dan China,” ujar Dr. Zalina.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.