TANJONG MALIM, 11 Sept 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini telah memperkenalkan program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Komunikasi (Pembangunan Kandungan) dengan Kepujian.
Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan, pengurusan dan penyampaian kandungan digital merentas pelbagai platform media, menggabungkan elemen kreatif, teknologi serta strategi komunikasi. Ia ditawarkan dalam dua mod pengajian, iaitu konvensional dan industri (2u2i), dengan tempoh tujuh semester.
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad, berkata program tersebut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam pembangunan kandungan digital.
“Melalui program ini, UPSI berhasrat melahirkan graduan yang bukan sahaja kreatif dalam menghasilkan kandungan, tetapi juga mempunyai kemahiran teknikal dan strategi komunikasi yang diperlukan pelbagai sektor,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama dengan industri melalui mod 2u2i memberi peluang pelajar menimba pengalaman praktikal secara langsung di syarikat media dan organisasi terkemuka, selain pembelajaran di bilik kuliah.
Antara rakan industri yang terlibat termasuk Oh My Media, Skop Production Sdn Bhd, Noir, Max Bell, IPPTAR dan Aaron Aziz Production. Pelajar juga diberi pendedahan menggunakan kemudahan khusus seperti konti radio TMFaceLive serta studio penyiaran Sonique Studio dan Soundscape.
Graduan program ini berpotensi menceburi pelbagai kerjaya dalam pembangunan kandungan digital, termasuk pereka grafik dan multimedia, pakar pemasaran digital, penulis kandungan, pengurus media sosial, penerbit video, pakar strategi kandungan, pakar penjenamaan serta pemasaran berasaskan pempengaruh.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.