PUTRAJAYA, 12 Ogos 2026 – Harga runcit bagi produk petroleum tanpa subsidi menyaksikan penurunan antara 10 sen hingga 20 sen seliter bagi tempoh 13 Ogos hingga 19 Ogos 2026 berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia minggu lalu.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 20 sen menjadikan RM4.15 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi merosot 15 sen kepada RM3.62 seliter dan diesel tanpa subsidi turun 10 sen kepada RM4.47 seliter.
Sementara itu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah skim BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel). Bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), harga masing-masing kekal pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Penurunan harga bahan api itu didorong oleh penurunan harga minyak mentah Brent ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), berikutan prospek penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran. Walau bagaimanapun, harga petroleum dijangka terus mengalami ketidaktentuan berikutan kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.
Menerusi skim BUDI95, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.63 seliter atau kira-kira 82 peratus daripada harga di pam, manakala bagi BUDI Diesel, kerajaan menanggung subsidi RM2.37 seliter. Dalam pada itu, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat serta merancang perjalanan yang lebih cekap bagi mengurangkan perbelanjaan subsidi negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































