KUALA LUMPUR, 23 Sept 2025 — Persidangan pembangunan permainan digital terbesar Asia Tenggara, Level Up KL 2025, bakal berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober ini di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South.
Acara tahunan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi di bawah Kementerian Digital, ini akan menghimpunkan pembangun permainan, studio, penerbit, pelabur, penyedia teknologi dan pencipta kandungan dari seluruh rantau serta antarabangsa.
Tahun lalu, Level Up KL berjaya menarik lebih 2,500 peserta dan 80 pempamer, termasuk syarikat gergasi seperti Double Eleven, Larian Studios, Xsolla, Kaigan Games, Metronomik, Electronic Arts dan PlayStation Studios. Ia juga menjana lebih RM130 juta peluang perniagaan.
Bagi edisi 2025, pelbagai program utama akan dianjurkan termasuk bengkel masterclass intensif bersama pakar global, sesi Pitch Day untuk pembangun mempersembahkan projek mereka kepada penerbit dan pelabur antarabangsa, serta Business Connection Programme yang menyediakan pertemuan perniagaan secara bersemuka. Antara nama besar yang dijangka hadir ialah Nintendo, Kowloon Nights dan Neon Doctrine.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Level Up KL bukan sekadar perhimpunan, tetapi pemangkin yang memperlihatkan bagaimana Malaysia menjadi peneraju dalam ruang pembangunan permainan digital di Asia Tenggara.
“Sebagai pemacu ekonomi digital negara, MDEC komited memperkasakan bakat tempatan, memacu inovasi dan meluaskan peluang global, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pembangunan permainan serantau,” katanya.
Selain itu, acara ini turut menampilkan Industry Conference dengan ucaptama dan sesi panel, SEA Game Awards bagi mengiktiraf karya terbaik dalam inovasi, seni visual dan reka bentuk, SEA Game Jam iaitu cabaran pembangunan permainan 48 jam, serta Level Up KL Steam Event yang menampilkan permainan indie Asia Tenggara di platform Steam selama dua minggu.
Pendaftaran kini dibuka di www.levelupkl.com dengan pas delegasi, pakej pempamer dan penajaan turut ditawarkan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.