KLIA, 11 Ogos 2026 – Malaysia Airlines melancarkan Cabaran “Ride Together, Fly Together” bagi menawarkan peluang kepada lima pemenang menyertai sesi kayuhan tajaan penuh bersama jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang, di Melbourne, Australia.
Cabaran di bawah inisiatif MHsports yang diadakan menerusi aplikasi kecergasan Strava dari 7 hingga 28 Ogos 2026 itu memerlukan peserta melengkapkan kayuhan sejauh 6.5 kilometer tanpa sebarang syarat pembelian atau tempahan tiket penerbangan.
Kelima-lima pemenang bakal menyertai program berbasikal eksklusif merangkumi lawatan ke Velodrom Joe Ciavola, sesi latihan, demonstrasi teknologi, serta acara kemuncak kayuhan pesisir pantai sejauh 60.7 kilometer dari St Kilda ke Mount Martha bersama pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan daripada Kumpulan Malaysia Aviation (MAG), Bryan Foong, berkata inisiatif MHsports direka bagi memudahkan urusan perjalanan golongan atlet dan komuniti sukan.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk kekal aktif sambil menunjukkan bagaimana Malaysia Airlines boleh menyokong perjalanan sukan mereka melampaui destinasi penerbangan. Bersama Dato’ Azizulhasni Awang, kami memberi peluang kepada peminat berbasikal tempatan untuk mengayuh bersama salah seorang ikon sukan terbesar negara serta melihat sendiri dunia sukan berbasikal trek elit,” kata beliau.
Bagi menyertai cabaran berkenaan, peserta perlu mendaftar menerusi platform Strava, melengkapkan kayuhan sekurang-kurangnya 6.5 kilometer dan memuat naik bukti pencapaian di laman kempen rasmi MHsports.
Peserta yang berjaya melengkapkan kayuhan juga akan menerima kod promosi diskaun tiket penerbangan Malaysia Airlines sebanyak 15 peratus, manakala peserta yang penyertaannya disahkan bakal menerima kod promosi tambahan bernilai 10 peratus. Program MHsports turut menawarkan pelbagai kemudahan perjalanan mesra sukan termasuk elaun bagasi tambahan 10 kilogram, pemilihan tempat duduk percuma, pendaftaran masuk awal serta tarikh perjalanan yang fleksibel bagi memudahkan pengurusan kumpulan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































