KUALA LUMPUR, 17 Sep 2025 — Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Library atau FSL) telah melancarkan Program Citra Kata Karnival Baca Perdana 2025 (World of Words Kuala Lumpur Reading Campaign, WOWKL) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini.
Acara selama tiga hari bermula 17 hingga 19 September itu menghimpunkan pelajar, pendidik, ibu bapa dan penerbit dari seluruh negara dalam usaha meraikan budaya membaca serta memupuk minat terhadap ilmu pengetahuan.
WOWKL merupakan sebahagian daripada inisiatif kebangsaan untuk menggalakkan tabiat membaca dengan memberi tumpuan khusus kepada pendidikan kewangan. Kempen ini seiring dengan peranan FSL sebagai pusat ilmu yang menekankan pembacaan dan literasi kewangan melalui kandungan terpilih serta kaedah interaktif.
Antara sorotan utama ialah Forum Panel yang mempertemukan penulis, penerbit dan pemimpin berwawasan untuk berkongsi pandangan tentang budaya membaca dan hala tuju pada masa depan. Selain itu, turut diadakan Bengkel Literasi Kewangan yang direka untuk membantu remaja memahami konsep kewangan asas dengan lebih baik.
Pengarah FSL, Noreen Zulkepli berkata, WOWKL bukan sekadar kempen membaca tetapi gerakan untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui pembelajaran berterusan dan pendidikan kewangan.
“Dengan menghimpunkan pelbagai komuniti, kami berharap kempen ini dapat mencetuskan semangat pembelajaran sepanjang hayat serta keputusan yang bijak berasaskan maklumat yang mencukupi,” katanya.
Beliau menambah, WOWKL tidak hanya menekankan sumber tradisional seperti buku dan jurnal tetapi turut merangkumi platform moden seperti media sosial, blog, audio siar (podcast) dan saluran digital lain, menjadikan budaya membaca lebih menyeluruh, relevan dan berdaya tahan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.