KUCHING, 25 Januari 2026 – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang bakal menjelang, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) meneruskan tradisi tahunannya dengan melancarkan koleksi sampul angpau edisi terhad yang menampilkan motif unik ‘kuda laut’.
Memasuki edisi kelapan penganjurannya, pemilihan reka bentuk tahun 2026 ini membawa mesej yang mendalam.
Walaupun tahun ini mengikut kalendar zodiak Cina adalah Tahun Kuda Api yang sinonim dengan semangat berkobar-kobar, kepantasan dan keberanian, STB memilih untuk mengimbanginya dengan simbol kuda laut yang melambangkan kekuatan tenang, keseimbangan dan keharmonian alam.
Kuda laut juga diangkat sebagai simbolik kepada bandar raya Miri, sekali gus meraikan warisan maritim dan identiti persisiran pantai bandar tersebut yang menjadi salah satu pintu masuk utama pelancongan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr. Sharzede Datu Hj Salleh Askor berkata, gabungan elemen ini mencerminkan falsafah pelancongan negeri itu.
“Tahun Kuda Api adalah mengenai keberanian, momentum dan menjadi peneraju. Dengan menggandingkan tenaga ini bersama kuda laut, kami mencerminkan falsafah Sarawak untuk bergerak ke hadapan dengan yakin sambil kekal seimbang, menghormati alam semula jadi dan setia kepada identiti kami,” katanya.
Koleksi ini juga dilancarkan seiring dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), di mana Sarawak terus mempromosikan pengalaman pelancongan yang autentik dan berteraskan kelestarian sebagai ‘Pintu Masuk ke Borneo’.
Orang ramai boleh mendapatkan sampul angpau edisi terhad ini bermula 23 Januari 2026 (sementara stok masih ada) di Pusat Maklumat Pelawat Sarawak (VIC) di Kuching, Miri, dan Sibu.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































