KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED 2025) bagi memperkukuh keupayaan organisasi menghadapi krisis komunikasi dan mengekalkan reputasi di era digital.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata setiap krisis tidak seharusnya dilihat sebagai tragedi, sebaliknya peluang untuk penambahbaikan dan pengukuhan sistem kepimpinan organisasi.

“Krisis adalah ujian terhadap kepimpinan dan keutuhan nilai organisasi. Jika diurus dengan bijaksana, ia bukan sekadar mengembalikan kestabilan, tetapi membina kekuatan baharu yang lebih mampan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengurusan Krisis: Tragedi atau Inspirasi’ di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Beliau turut menekankan keperluan strategi komunikasi yang jelas, telus dan berintegriti bagi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi walaupun ketika berdepan tekanan media atau cabaran reputasi.
Menurutnya, keupayaan kepimpinan dalam menyusun naratif yang tepat serta menyampaikan maklumat secara berhemah amat penting untuk membentuk persepsi awam dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Sementara itu, Pengarah BKK UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril, berkata penganjuran SiSMED 2025 merupakan inisiatif strategik UPSI dalam memperkukuh budaya kesiapsiagaan komunikasi dan pengurusan reputasi di kalangan institusi pendidikan tinggi.
“Dalam landskap media yang pantas dan tidak menentu, organisasi perlu bersedia dengan strategi komunikasi krisis yang sistematik dan berpaksikan fakta supaya mesej yang disampaikan kekal konsisten dan meyakinkan,” katanya.
Tambah beliau, SiSMED 2025 bertujuan membantu pemimpin dan pegawai komunikasi memahami bahawa setiap krisis membawa potensi pembelajaran, inovasi dan peluang memperkukuh kepercayaan awam terhadap organisasi. Program ini turut menampilkan barisan penceramah ternama dalam industri media termasuk Zahan Rashid (Bernama TV), Ali Imran Mohd Noordin (Warta Hidup), Noor Azam Ab Aziz (Harian Metro), Dr. Haji Ainol Amriz Ismail (Institut Akhbar Malaysia), Azwaliza Azman (Editor Berita Utama, TV), Andy Reza Rohadian (RTM) dan Kumaran Rajamoney (TV3 / Media Prima Berhad, Perak).
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































