Dalam kesibukan hidup seharian yang melibatkan kerja, keluarga, trafik dan pelbagai tekanan, kita kadangkala terlupa satu perkara penting: kesihatan. Bukan sahaja fizikal, tetapi juga mental. Sudah menjadi lumrah manusia sering menunda waktu rehat, melengahkan pemeriksaan kesihatan, malah memendam emosi atas nama “tanggungjawab” yang dipikul di pejabat.
Tanpa kita sedari, kita sedang menuju ke arah keletihan fizikal dan emosi yang berisiko. Hidup bukan sekadar bertahan hari demi hari, sebaliknya kita perlu bijak mencari ruang untuk bernafas demi menjaga kesihatan diri.
Di sinilah peranan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) begitu penting sebagai penjaga kesejahteraan keluarga moden.
Sempena sambutan World Family Doctor Day, AFPM membawakan acara yang penuh warna dan semangat: Fit CPR Run 2025. Dengan tema yang cukup relevan pada masa kini: Mind and Heart In Motion: Run, Breathe, Rescue!
Acara ini bukan sekadar larian biasa. Ia menjadi ruang untuk keluarga, sahabat dan komuniti berkumpul serta berpeluh bersama-sama dalam Larian Santai 3KM dan 5KM, belajar asas kecemasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), dan yang paling penting—memberi tumpuan kepada kesihatan mental. Satu aspek yang sering dipandang remeh, tetapi sebenarnya sangat penting dalam kehidupan seharian kita.

AFPM percaya bahawa menjaga kesihatan bukan tanggungjawab yang wujud di hospital semata-mata. Ia sebenarnya bermula dari diri sendiri, menerusi inisiatif seperti berbincang dengan doktor keluarga bagi mengetahui status kesihatan serta mendapatkan nasihat perubatan tepat. Doktor keluarga bukan sekadar merawat, tetapi juga mendengar, membimbing dan menjadi sistem sokongan yang berterusan.
Fit CPR Run 2025 merupakan antara program kesihatan komuniti sulung anjuran AFPM, yang beraspirasi membawa kesedaran penjagaan kesihatan dari hospital terus ke peringkat komuniti. Tambahan pula, dengan penyebaran ilmu CPR secara terus kepada orang awam, ia berpotensi membina komuniti yang lebih kuat, prihatin dan bersedia menghadapi kecemasan.
Dalam dunia yang semakin moden dan pesat dengan pembangunan digital, kita amat memerlukan ruang untuk berhenti seketika, menghirup udara segar dan menyedari bahawa kesihatan adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Di sinilah hadirnya peranan AFPM—bukan sekadar penghubung antara doktor dan pesakit, malah antara hati dan jiwa komuniti.
Jika anda mempunyai kelapangan, Fit CPR Run 2025 akan berlangsung pada 6 Julai 2025, bermula jam 8.00 pagi, dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti bengkel penjagaan kesihatan mental, ilmu CPR, Fitness & Recovery Zone, serta peluang berinteraksi dengan pempengaruh kesihatan terkenal seperti Dr Say Shazril, Prof Dr Imelda Balchin, Dr Sakinah Sulong dan Dr Rafidah Abdullah.
Aqashah Ghazali merupakan seorang penulis bebas yang suka berkongsi pengalaman di semua platform terutamanya digital melalui portal dan media sosial.