KOTA KINABALU, 7 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan syarikat tempatan, Rehabcare Enterprise, bagi membangunkan alat bantuan mobiliti inovatif dan mampu milik untuk pesakit amputasi anggota bawah.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) di kampus UMS, disaksikan oleh barisan pengurusan universiti serta penyelidik utama. Projek ini merupakan inisiatif di bawah Dana Inovasi Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM128,000, diterajui oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.
Inovasi yang dibangunkan berasaskan sistem pneumatik berkos rendah itu direka untuk membantu pesakit amputasi menjalani proses pemulihan sebelum menerima prostesis kekal; satu fasa penting dalam pemulihan fungsi mobiliti.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata kolaborasi ini membuktikan kemampuan penyelidik universiti menyalurkan pengetahuan saintifik kepada penyelesaian praktikal bagi masyarakat.
“UMS berbangga apabila kepakaran penyelidik diterjemahkan kepada produk inovatif yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Rehabcare Enterprise, Muhammad Iman Jabilin, berkata sinergi antara pengalaman industri Rehabcare dan kepakaran akademik UMS membolehkan pembangunan produk yang relevan serta berimpak tinggi.
“Kerjasama ini membolehkan kami membangunkan teknologi yang membantu pesakit mendapatkan semula keupayaan dan keyakinan untuk bergerak,” katanya.
Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk mempercepat pengkomersialan alat mobiliti tersebut agar dapat dimanfaatkan oleh hospital, pusat rehabilitasi, dan komuniti pesakit di seluruh Malaysia.
Projek ini juga menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh ekosistem inovasi kesihatan negara, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai antara peneraju serantau dalam penyelidikan pemulihan dan teknologi kesihatan inklusif.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.